Mawan gesa SDNU susun strategi untuk satukan Dayak


SARATOK: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) adalah satu organisasi yang mempunyai peranan yang amat besar dalam menyatukan masyarakat Dayak di negeri ini.

Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom berkata, SDNU harus bergiat lebih aktif pada masa akan datang, khususnya melibatkan aktiviti yang berkaitan dengan tanggungjawab sosial dan mengeratkan perpaduan sesama kaum Dayak.

Katanya masyarakat Dayak harus bersatu di bawah satu bumbung dan tidak berpecah belah sesama sendiri, kerana melalui kesepakatan seperti ini akan mempermudahkan pelaksanaan segala bentuk agenda pembangunan yang telah dirancang.

“Kesatuan harus sedar, bahawa selama ini masyarakat kita telah banyak berpecah belah disebabkan banyak perkara dan isu. Oleh yang demikian, mulai saat ini, SDNU harus menyusun semula strategi untuk menyatukan masyarakat Dayak amnya, agar bergabung dalam satu rumpun yang mampu bergerak seiring bersama.

“Sekiranya kesatuan ini ingin bergerak terus maju ke hadapan dan menjadi organisasi yang membawa banyak manfaat positif kepada masyarakat, SDNU harus berusaha menarik minat gabungan golongan muda dan tua, bersatu di bawah payung SDNU,” katanya.

Mawan berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Rumah Dayak Saratok, malam kelmarin.

Majlis berkenaan telah dihadiri sekitar 500 anggota masyarakat.

Menurut Mawan, pihak SNDU Cawangan Saratok amnya, seharusnya memelihara dan menjaga Rumah Dayak itu dengan sebaiknya.

“Saya akan sentiasa berusaha menghulurkan bantuan kepada pihak SDNU dan apa yang pailng penting sekali pada masa ini ialah kerjasama dan perpaduan di kalangan semua ahli dengan masyarakat harus ada dan terus kukuh pada setiap masa.

“Sekiranya rumah ini terus dijaga dan dipelihara, kita boleh menganjurkan banyak aktiviti di sini dan adalah satu kemudahan yang baik kepada semua pihak dan amat wajar untuk semua kita untuk bertanggungjawab ke atasnya, tanpa meletakkan pada bahu satu pihak sahaja.

“Rumah Dayak ini adalah satu lambang yang amat penting bagi masyarakat kita. Kita di Saratok harus bersyukur kerana mempunyai Rumah Dayak yang telah banyak berjasa kepada masyarakat di sini,” jelasnya.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan pada majlis itu seperti sambutan yang penuh kebudayaan daripada Kelab Gagung Saratok, persembahan ngajat, cabutan bertuah, pentas hiburan dan banyak lagi aktiviti lain.

Turut hadir Pengerusi SDNU Saratok Jeti Kumpai dan ketua-ketua masyarakat setempat yang lain.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.