Pakai tuala & bawa gayung bukan gimik
SHAH ALAM - Insiden memakai tuala dan membawa gayung serta menyelitkan berus gigi di telinga yang dibuat Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Jamal Md Yunos sebenarnya bukan hanya gimik.
Ramai yang tidak tahu, pada hari kejadian, beliau sememangnya mahu menumpang mandi di pejabat SUK memandangkan kediamannya sudah tiga hari tidak ada air.
“Saya tak pernah cakap di mana-mana. Tapi itulah niat sebenar saya pada ketika itu. Ia boleh dianggap gimik juga.
“Apa yang saya buat itu adalah suara hati saya sendiri yang nak mandi tiada air di rumah. Bukan saya saja, ramai yang mengalami masalah yang sama.
“Saya lihat, sebelum apa yang saya buat, ada pihak lain yang dah buat demo, tapi tak ada kesan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pun tiada ambil apa-apa tindakan. Jadi saya cuba cara saya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Online.
Beliau berkata, berus gigi di telinga adalah simbolik kepada mereka yang belum mandi.
“Saya dihalang masuk ketika itu. Akhirnya saya mandi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sahaja.
“Saya hanyalah pemimpin kecil di Selangor. Isu air ni dah lama. Ia adalah permainan politik kerajaan negeri,” katanya.
Katanya, gimiknya itu adalah nada sesuai yang mudah difahami rakyat.
“Saya cuma nak bantu masyarakat yang rata-rata terbeban dengan isu air,” katanya.
Tiada ulasan: