Kata 2 buat Adun Sarawak, jalankan tanggungjawab atau tidak dipilih lagi


KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memberi kata dua kepada kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan baik kepada rakyat di negeri ini.

Pengerusi BN Sarawak itu menegaskan sekiranya terdapat ADUN yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik maka wakil rakyat tersebut berisiko untuk tidak dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang.

“Calon (BN) yang akan diletakkan berdasarkan prestasi yang mereka tunjukkan kerana kita telah menyediakan peruntukan RM5 juta setahun menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada setiap ADUN bagi projek pembangunan untuk orang kampung.

“Jadi kalau anda melakukan tanggungjawab dengan baik, rakyat akan sentiasa memerlukan khidmat anda dan kalau anda tidak melakukan tanggungjawab dengan baik maka anda tidak akan dipilih semula sebagai calon,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara tersebut selepas menghadiri Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang turut menampilkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Arena Gemilang, DeTAR Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

“Setakat ini semua ADUN kita melakukan kerja baik, semua mereka menunjukkan prestasi baik, jika mereka semua terus melakukan kerja mereka dengan baik mereka berpotensi untuk dikekal sebagai calon,” tambah Abang Johari lagi.

Terdahulu, dalam sesi dialog itu, beliau menjelaskan peruntukan RM5 juta setahun kepada setiap ADUN di negeri ini menerusi dana projek RTP perlu digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan masyarakat luar bandar.

Malah, beliau turut mengingatkan agar setiap ADUN membuang tanggapan bahawa menjadi wakil rakyat akan membolehkan mereka memperolehi keuntungan atau perniagaan.

“Kalau anda hendak memanfaatkan jawatan sebagai wakil rakyat untuk memajukan perniagaan anda lebih baik anda berhenti menjadi wakil rakyat kerana kita mahu setiap wakil rakyat menjalankan tanggungjawab untuk rakyat bukan untuk diri sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol menjelaskan peruntukan RM5 juta setahun untuk setiap ADUN itu bukanlah berbentuk tunai.

“Peruntukan ini berbentuk cadangan projek RTP yang dicadangkan oleh setiap ADUN untuk dilaksanakan kawasan masing-masing,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.